Hanya Tinggal Sejarah
Assalamualaikum
Apa khabar semua? Setelah hampir memasuki usia 5 tahun, ini post yang dibuat untuk harapan, doa dan impian 2023. Mungkin kalau ditanya pada orang lain, apa yang mereka impikan dalam hidup, ada yang akan menjawab; rumah, perkahwinan, anak, naik pangkat, jadi kaya dan sebagainya. Untuk aku, harapan 2023 dan selamanya adalah kegembiraan (Happiness).
Ye, Happiness tu subjektif. Sebahagian manusia percaya dengan rumah, perkahwinan, anak, naik pangkat, jadi kaya juga akan memberikan kegembiraan dalam hidup. Silakan, takde salah pun. Jika mampu capai, teruskan. Berusaha dan tak salah mencuba. Jika berjaya, ia akan memberi kepuasan diatas usaha gigih selama ini.
Aku dulu punya impian dan cita-cita sebegini, Percaya dengan adanya rumah, kita akan selesa. Adanya perkahwinan kita akan dicintai dan mencintai. Anak-anak pelengkap hubungan kasih sayang dan penyambung generasi. Pangkat dan kekayaan yang menjadi kestabilan ekonomi keluarga. Dengan kuasa Allah, semua itu tidak untuk aku!
Penghujung 2022 aku baru disedarkan dari dunia khayalan yang rupanya aku tak dicintai. Usia perkahwinan 4 tahun itu hanya sekadar tempoh. Tempoh sebuah perkahwinan yang terbina bukan atas dasar cinta daripada seorang suami. Pengakuan yang teramat menyakitkan yang pernah aku rasai sepanjang aku hidup di dunia ini. Lebih perit daripada contraction ketika hamil, lebih perit daripada sakit C-section, lebih perit ketika back pain, breast pain saat mengandung. Jiwa aku terlalu sakit hingga aku lupa bagaimana sakitnya mengandung dan melahirkan Daniel Zayn. Kenyataan yang amat ku tunggu, ramalan yang telah aku rangka sejak awal perkahwinan kini sudah terjawab. Alasan yg aku terima kerana tiada wanita Muslim yg dikenali di Eropah, mencari wanita Muslim yang boleh melahirkan anak lelaki untuk keturunan Talukder. Aku terduduk! Aku benar-benar hilang arah.
Ujian tak pernah henti singgah dalam hidup manusia. Kerana kita hanyalah hamba. Disaat aku diuji kehilangan kerja dan sampai saat ini, masih berusaha dan terus berusaha mencari sesuap nasi untuk aku dan Daniel, cinta dunia dan akhiratku melafazkan kenyataan yang menyakitkan. Saat itu juga dia pergi meninggalkan kami. Allahu akbar! Berduyun Whatsapp message daripadanya menyatakan kegagalan aku untuk mencapai kriteria yang dia impikan sedangkan aku sedaya upaya mendukung ekonomi dan kesejahteraan keluarga kecil kami daripada mula perkahwinan hingga penghujung 2022. 4 tahun aku ketepikan diri aku sendiri dan meletakkan keluarga sebagai tunggak no.1. Tak pernah memanjakan diri di spa, apatah lagi penjagaan khusus untuk kulit, rambut dan badan kerana 100% gaji bulanan aku serahkan untuk urusan sewa rumah, belanja dapur dan bil utiliti. Dia yang sentiasa mempunyai masalah kewangan dan juga menanggung ibu, ayah dan adik-adik membuatkan aku pasrah untuk mendukung komitmen bulanan untuk keluarga kecil kami. Akhirnya sebelum dia pergi meninggalkan kami, aku lihat dia punya wang! Banyak yang diperuntukkan untuk souvenier keluarganya sedangkan aku dan Daniel .... sepertinya terpisah daripada ikatan ¨keluarga" dalam hidup dia.
Aku mula menyalahkan diri aku sendiri. Aku terlalu baik! Aku lupa untuk mendahulukan diri aku sendiri. Anxiety aku mula triggered. Ketakutan aku disaat aku jobless sekarang benar-benar membuatkan aku akhirnya membiarkan takdir yang menentukan segalanya. Setelah aku mencuba bermacam cara, akhirnya aku hanya mampu tunduk pada Sang Pencipta kerana aku betul-betul penat. Dengan perpisahan ini, aku mula menyayangi diri. Aku punya masa yang banyak untuk terus berdamai dengan hikmah yang Allah ciptakan untuk aku. Aku perlu kuat demi Daniel Zayn.
Aku bukan nak buka pekung di dada tetapi perkongsian yang ditujukan buat mereka yang membaca. YE Kalian! Hakikat bahawa rumah, perkahwinan, anak, naik pangkat, jadi kaya bukan segalanya. Menongkat untuk terus berjalan di saat kau rupanya tak dicintai benar-benar meruntun jiwa. Jika nafkah tak pernah diperoleh, itu OK untuk aku kerana aku bekerja. Namun bila yang utama itu tiada (baru tiada ke wallahuaĺam), untuk apa lagi perkahwinan ini bertahan. Aku mula menghubungi peguam Syariah. Keadilan dan kebebasan menjadi tuntutan. Ramai yang menasihatkan aku yg cinta itu tak perlu pun untuk terus dalam alam perkahwinan. Ramai memohon untuk aku bertahan demi Daniel yang memerlukan ayah. Maaf sahabat-sahabatku sekalian, sudahlah aku ditipu dengan cinta yang tak pernah wujud, nafkah tiada, untuk apa Daniel perlu ada ayah sebegitu. Sejak lahir hingga sekarang, Daniel tak pernah merasai hasil titik peluh ayahnya sendiri.
Allahu akbar!
Permulaan 2023 yang benar-benar menguji keimanan aku. Mohon doakan aku sahabat! Aku hanya perlu doa daripada semua. Moga-moga ada dikalangan kalian yang lebih baik dan diangkat doanya, maka dengan izin Allah aku beroleh manfaat daripada doa kalian.
Terima kasih kerana membaca. Terima kasih untuk doa kalian.
Comments
Post a Comment